Massa Scarecrow suatu nama yang tidak ketinggalan, popular sewaktu zaman kemeriahan muzik rock.
Nama Massa Scarecrow sebaris dengan kewujudan puluhan kumpulan-kumpulan rock tempatan seperti Gamma dan Laksamana.
Berasal satu taman perumahan di Taman Sepakat Kuantan kumpulan yang menggunakan nama asal "Scarecrow" ini pada mulanya aktif dalam persembahan di majlis-majlis kahwin dan pesta-pesta keramaian.
Mereka menjadikan artis-artis seperti Loudness, Whitesnake, dan Mr Big sebagai idola. Lokasi jamming mereka selalunya di Kuantan berdekatan dengan kediamannya.
Atas dorongan rakan-rakan disusuli semangat dan usaha, mereka memenangi tempat ketiga dalam pertandingan akhir Muzik Tenggara di Stadium Darul Makmur Kuantan pada tahun 1988.
Sebelum memasuki industri muzik Malaysia, mereka harus mematuhi satu syarat polisi RTM pada lewat 80-an tidak menggalakkan nama band yang kebaratan. Mereka akur dengan kehendak RTM dan kemudiannya menukar nama kumpulan kepada Massa.
Di bawah naungan Perdana Muzikal Industri Sdn Bhd (PMI) Massa Scarecrow menghasilkan tiga buah album. Ketiga-tiga album berjaya menambat hati peminat muzik tanahair.
Dengan mendiami rumah yang diberikan oleh syarikat, mereka mula menjalani kehidupan sebagai artis rakaman. Album pertama bertajuk "Massa Scarecrow" (1989) dirakamkan di Studio Channel Eleven di Chow Kit.
Massa Scarecrow antara kumpulan rock yang bertuah kerana mendapat tajaan daripada jenama rokok terkenal "Kingsway" yang menaja dari segi cover album dan poster. Manakala pakaian pula ditaja oleh King Leather and Lee.
Album kedua "Doktrin Metos" (1990) dan ketiga "Massa III" (1992) menjalani rakaman di Fantasia Studio Cheras.
Album kedua, Doktrin Metos memuatkan lagu hit berjudul "Patahnya Sayap Malam". Lagu ini telah membawa Massa ke peringkat akhir juara lagu 1991 di PWTC Kuala Lumpur.
M.Nasir, Siso, Usop dan Awang BPR adalah antara orang kuat yang menjayakan album Massa Scarecrow. Anggota-anggota Massa tidak ketinggalan mencipta lagu dan lirik dalam album mereka.
Album Doktrin Metos mendapat sambutan hangat yang mencatatkan jualan melebihi 100,000 ribu unit, ketika itu lagu-lagu Massa kerap kedengaran di corong-corong radio.
Nama Massa kian popular meniti di bibir peminat tidak kira usia, gadis-gadis amat menggilai kumpulan rock ini. Tidak kurang juga ada peminat-peminat yang rajin mengutuskan surat buat mereka.
Di puncak popularitinya, terdiri daripada Zul (vokalis), Lan (gitar utama), Mazwan (gitar kedua), Madi (bass), dan Shaiful (dram).
Ramai peminat yang menulis surat minta mereka dijadikan abang angkat dan adik angkat, ada yang hadiahkan baju, souvenier, gelang, aksesori-aksesori, malah ada yang poskan teddy bear. Bila show pula mereka dapat jambangan-jambangan bunga.
Dari segi pertunjukan pentas, Massa tidak kurang hebatnya. Dalam mana-mana show sambutan peminat amat meriah tidak kira di bandar mahupun luar bandar.
Satu show di Singapura pada tahun 1991, sambutan penonton di sana amat luar biasa. Suasana ketika itu memang dahsyat, dikatakan betul-betul seperti yang dilihat dalam video konsert band-band terkenal barat.
Sama juga dengan penonton-penonton di Malaysia, terutama ketika konsert pujaan 10 Nescafe bersama artis-artis lain yang dianjurkan RTM.
Lagu Amanda Gadisku, Simpul Mati Keindahan Suci dan Patahnya Sayap Malam adalah lagu-lagu Massa yang menjadi siulan ramai hasil sentuhan komposer-komposer terkenal dan lontaran vokal Massa yang unik.
Patahnya Sayap Malam lagu ciptaan Awang BPR dan lirik oleh Zur'ain bersaing hebat bersama lagu-lagu popular di carta-carta radio. Lagu ini mempunyai kekuatan tersendiri sehingga menjadi juara bulanan pertandingan Muzik-Muzik dan terpilih memasuki Anugerah Juara Lagu (AJL) pada tahun 1991.
Tahun 1991 terpahat sejarah apabila lagu-lagu rock menguasai pentas AJL.
Waktu akhbar-akhbar dan majalah tengah hot menceritakan tentang AJL dan persiapan finalis-finalis. Ketika itu Zul dikatakan mula rasa tidak selesa, pada masa pertandingan itu, masalah yang Massa hadapi sewaktu rehearsel telah berlaku kembali. Gitar tiba-tiba tidak berfungsi dan pedal drum tercabut.
Massa ketika itu tidak tahu bagaimana boleh terjadi begitu rupa, siapalah mereka ketika itu untuk bersuara dengan mana-mana pihak. Media-media pula selepas itu terus terusan menghentak artis-artis dan band yang membuat persembahan pada malam itu tanpa berjumpa dan bertanya hal pada mereka semua.
Nasib tidak dapat diduga, apatah lagi ianya hanya ketentuan ilahi tragedi malang telah menimpa Roslan Karim (Lan) gitaris Massa apabila terbu.nuh dalam kemalangan jalan raya di kilometer 32 Jalan Kuantan-Kemaman pada tahun 1995.
Kejadian itu melibatkan kereta dan jip yang dipandu Kerabat Diraja Pahang. Sebelun kejadian, arwah kurang berjumpa dengan rakan-rakan rapat seperti rutin biasa dan banyak membuat hal sendiri. Malam itu arwah ke Cherating bersama abangnya dengan kereta berlainan.
Selepas selesai kerja di Cherating, arwah bersama abangnya gerak pulang ke rumah. Mereka sempat singgah di rumah Zul, kebetulan Zul memang hendak keluar malam tragedi itu. Sampai di satu kawasan, satu kenderaan dari arah bertentangan datang dan terus melanggar kereta yang dipandu arwah Lan.
Keadaan kereta remuk teruk hingga tayar hadapan tercabut dan gelongsor ke belakang lalu melekat di bawah kereta abangnya, itulah yang menyelamatkan abangnya dari merempuh kereta Lan.
Arwah cedera parah di bahagian leher, tapi masih ada tindak balas apabila abangnya memanggilnya dan diajarkan dua kalimah syahadah. Zul yang kebetulan lalu di situ terkejut sebab baru sebentar tadi mereka berjumpa.
Arwah dibawa ambulans ke hospital tetapi disahkan meninggal dunia dalam perjalanan.
Sudah jatuh ditimpa tangga, di waktu yang sama kumpulan Massa telah lama berhadapan krisis dengan syarikat di bawah naungan mereka PMI.
Syarikat yang menaungi mereka sudah lama tiada hala tuju dan telahpun gulung tikar, walaupun jualan album Massa agak membanggakan mereka tidak pernah dianugerahkan gold disc.
Ekoran daripada penutupan PMI, Massa berasa dalam keadaan 'gantung tak bertali' mereka risau jika menandatangani kontrak dengan syarikat rakaman lain, PMI akan mengambil tindakan.
Mereka tidak tahu bagaimana mahu menghubungi PMI, puas Massa cuba menjejaki namun tidak berjaya. Akhirnya kesemua ahli mengambil keputusan untuk pulang ke Pahang. Media-media pada waktu itu, menyatakan Massa sudah berpecah.
Sebenarnya Massa tidak pernah berpecah dan dibubarkan. Anggota-anggota kumpulan Massa membuat perancangan merakamkan album solo Zul. Yang mana mereka juga terlibat sama sebagai pemuzik, beberapa persediaan telah dilakukan.
"Ku sangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan ditengahari"
Belum sempat mengadakan rakaman, satu lagi tragedi menyayat hati telah berlaku. Zulkifli Mat Amin atau dikenali Zul Massa menjadi mangsa dalam satu pembunuhan di Pantai Balok Kuantan.
Dalam kes ini arwah dianiaya oleh rakan-rakan yang irihati dan berdendam dengannya. Kisah ini diceritakan kembali oleh Saiful apabila rakan-rakan Zul berpakat membawa arwah keluar jauh dari kediaman dengan menggunakan perempuan sebagai umpan.
Perempuan itu memang arwah kenal perempuan itu mendesak arwah keluar dan sanggup mencederakan diri sendiri dengan duduk di tengah jalan raya jika arwah tidak mahu ikut keluar bersamanya.
Sesiapa pun dalam situasi begitu akan terpaksa turutkan.
Bila sudah keluar terus perempuan itu membawa arwah Zul ke Pantai Balok Kuantan. Di situlah arwah terkepung dan tahu dia diumpan. Arwah dibelasah dengan begitu teruk seramai 8 orang.
Masih tidak berpuas hati mereka membawa arwah ke satu kawasan mereka di Kuala Kemaman.
Di situ pun arwah dibelasah sehingga lunyai dan pengsan, apabila arwah sudah tidak bernyawa, mereka panik, dan arwah disimpan 3 hari dalam keadaan kritikal tanpa sebarang bantuan.
Keluarga arwah mula mencari di merata-rata tempat dengan pertolongan kenalan dan orang ramai arwah ditemui terbaring dan tidak sedarkan diri di dalam sebuah rumah.
Arwah dihantar ke hospital tetapi terlalu lambat untuk dirawat kerana telah beberapa hari terbiar. Mesin pernafasan digunakan tetapi tiada tindak balas dari arwah akhirnya arwah tidak dapat diselamatkan lagi.
Perempuan itu sebenarnya seorang janda bukannya isteri orang arwah tidak menganggu rumah tangga orang seperti yang diheboh-hebohkan akhbar ketika itu.
Apa yang diceritakan akhbar itu langsung tidak tepat hanya sedikit sahaja dan banyak ditokok untuk melariskan jualan.
Ekoran kematian Zul Massa 2 suspek ditahan selepas itu. Namun mahkamah tidak pula menjatuhkan hukuman ke atas semua yang terlibat dan didapati kekurangan butki untuk mensabitkan kesalahan pembunuhan ini.
Pada 2 Ogos 2020 pula setelah sekian lama menderita pelbagai komplikasi penyakit pemain bass kumpulan Massa Madi menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan Pahang jam 6.15 petang pada usia 56 tahun.
Jenazah Allayarham Madi telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Rangin Kuantan.
Begitulah perjalanan panjang kumpulan ini, yang telah pun terjadi kita tidak boleh menolak takdir ini. Semoga mereka yang telah pergi ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman Alfatihah.
0 Ulasan