Lelaki yang dimaksudkan ini dikenali sebagai Bruno Manser, dia dilahirkan pada 25 Ogos 1954 dan berasal dari Switzerland. Seorang budak pendiam dan rendah diri, Bruno menunjukkan kecenderungan terhadap dunia luar dan sentimen anti-establishment sejak kecil lagi.
Ketika sudah berusia 18 tahun, dia telah menolak untuk menyertai latihan ketenteraan negara Switzerland, hali ini dia percaya latihan ketenteraan hanya menggalakkan keganasan, disebabkan keengganannya itu Bruno telah dikenakan penjara selama 4 bulan.
Setelah keluar dari penjara, Bruno telah mengambil keputusan untuk meneroka di Banjaran Switzerland untuk mencari kehidupan alam. Selepas 12 tahun di sana dia pergi ke Asia Tenggara pula untuk mencari erti asas kemanusiaan dan juga "manusia yang masih sangat dekat dengan alam semulajadi".
Diawal penerokaannya di Asia Tenggara, dia tinggal di Bangkok bersama beberapa orang petani di sana, seterusnya dia meneruskan perjalanannya ke Kelantan dan Terengganu.
Di sinilah segala-galanya bermula, apabila penduduk tempatan di situ menceritakan tentang kewujudan suku Penan di Sarawak. Sedikit pengetahuan untuk anda, suku Penan ialah kaum pribumi yang masih tinggal di tengah-tengah hutan di Sarawak yang jauh dari ketamadunan dan pembangunan moden. Suku penan ni adalah kelompok yang bergantung hidup kepada sumber di dalam hutan hujan antaranya adalah dengan memakan buah-buahan dan tumbuh-tumbuhan dan memburu dengan menggunakan kaedah sumpitan.
Apabila dia mengetahui kisah suku ini, dia mula menjadi obses untuk mendalami adat, budaya dan sosial suku ini. Tahun 1984 dia menggunakan visa pelawat untuk bersama kumpulan ekspedisi ke Gunung Mulu, Miri dan ke Baram di Sarawak.
Sejak itu dia terus minat dan terpikat dengan kumpulan Penan dan mendalami adat budaya serta nasib buruk mereka, dia telah memberanikan diri untuk meneroka hutan itu seorang diri. Percubaan pertamanya mencari suku penan ini menemui kegagalan setelah dia kehabisan makanan.
Setelah beberapa kali pencariannya, akhirnya dia berjaya menemui orang Penan berdekatan dengan Hutan Limbang. Bruno mengambil keputusan untuk menetap bersama suku Penan ini.
Pada awalnya, Bruno seolah-olah tidak diterima oleh suku penan untuk bergaul dengan mereka, masa itu Bruno tidak memahami bahasa suku ini dan hanya mengikut sahaja segala yang dilakukan oleh mereka, tetapi selepas beberapa minggu, akhirnya dia diterima sebagai sebahagian dari mereka.
Setelah diterima oleh suku ini, Bruno mula diajar hidup seperti mereka contohnya membuat sudu daripada daun, makan sejenis kanji berasal dari tepung sagu, memburu dan memakai cawat tradisi Penan. Sikap Bruno yang baik amat disenangi sehingga suku ini menggelarkan dia sebagai Laki Penan.
Malah, Along Sega iaitu Ketua Suku Penan melayan Bruno seperti anaknya sendiri, kehidupan Bruno sudah bertukar menjadi suku Penan, dia berjaya bertutur dalam bahasa Penan, menjiwai permasalahan orang Penan dan mengedarkan surat-surat kepada media antarabangsa dan NGO.
Media dengan lancang menggelarkannya sebagai Tarzan orang putih dan melabelkan dia sebagai bodoh kerana telah menjadi orang Asli dan mengahwini dua orang Penan. Walaubagaimanapun, dakwaan perkahwinan ini telah disangkal oleh Bruno.
Bruno juga mengatakan dia seperti seorang anak dalam perut ibunya dan telah menemui kehidupan yang dicarinya selama ini tetapi Bruno terpaksa membayar dengan harga yang sangat mahal untuk mempertahankan kehidupan ini iaitu dengan nyawanya sendiri.
Sehinggalah suatu hari syarikat pembalakan mula menceroboh ke kawasan-kawasan sekitar suku Penan ini. Bruno berusaha mencari suku-suku lain di dalam hutan yang sama untuk berjuang mempertahankan tanah mereka daripada diteroka secara rakus oleh syarikat pembalakan.
Pertemuan antara suku Penan mula diatur dan mengajar tentang hak-hak mereka. Tidak cukup dengan itu Bruno dan pemimpin Penan Along Sega telah merancang menghalang jentolak-jentolak pembalakan daripada masuk ke kawasan mereka dengan membina sekatan di tengah tengah laluan. Pihak-pihak tertentu telah menawarkan Bruno dengan ganjaran sebanyak RM500,000 tetapi dengan syarat, dia tidak menganggu lagi segala aktiviti pembalakan yang berlaku di situ, tetapi Bruno telah menolak tawaran itu.
Tambah memburukkan keadaan, sebenarnya visa pelancongnya sudah tamat tempoh sejak tahun 1983 lagi. Selain itu, ada satu kisah dimana Bruno pertama kali ditangkap oleh pihak polis.
Pada 10 April 1986, Inspektor Lores sedang bercuti di kampungnya di Long Napir dan terserempak dengan Bruno dan terus memberkasnya untuk dibawa ke Balai Polis Limbang.
Bruno Manser tidak digari kerana ketika itu Inspektor tidak mempunyai gari, di pertengahan jalan kira-kira 90 minit perjalanan ke Limbang, kereta yang dinaiki kehabisan minyak petrol di Jambatan Wong-Fujita. Ketika pemandu mengisi minyak Bruno telah melarikan diri, Inspektor Lores telah menjerit kepada Bruno dan melepaskan dua das tembakan amaran tetapi sudah terlambat.
Akhirnya, setelah mendapat perkhabaran tentang kedua ibu bapanya telah jatuh sakit Bruno mengambil keputusan untuk balik ke negara asalnya Switzerland, tapi jangan disangka Bruno hanya berdiam diri ketika berada di sana, di persidangan G7 dia telah menggantung banner dengan memanjat tiang lampu setinggi 30 kaki.
Selepas itu, di hadapan Istana Diraja Switzerland dia telah melakukan mogok lapar dan memberi tekanan kepada kerajaan Switzerland dengan meminta pengharaman import balak. Dengan pelbagai langkah ini, Bruno berjaya mendapat perhatian media ketika itu dan yang paling penting dia dapat menarik perhatian Ketua Menteri Sarawak iaitu Taib Mahmud.
Itulah kata-kata Taib Mahmud dalam membidas kritikan daripada pihak media.
Pada tahun 1998 setelah sedekad perbalahan antara Bruno dan Taib Mahmud berlaku, Bruno telah menghantar surat kepada pejabat Ketua Menteri dengan menawarkan dirinya untuk bekerjasama dalam melindungi suku Penan. Malangnya tiada balasan daripada pihak pejabat Taib. Setelah setahun menunggu, pada tahun 1999 satu tindakan di luar jangkaan telah dilakukan oleh Bruno apabila di waktu hari raya Bruno telah mendarat di perkarangan Rumah Taib Mahmud dengan menggunakan paraglider yang disewanya.
Ketika mendarat, Bruno memberikan satu kambing mainan sebagai tawaran perdamaian. Hasil daripada tindakannya itu, dia telah dipenjara dan dihantar pulang ke Switzerland namun tindakannya menarik perhatian ramai pihak.
Antaranya adalah AlGore iaitu ahli politik dan juga vice president yang ke 45 Amerika Syarikat dari tahun 1993 hingga 2001. Beliau mengkritik aktiviti pembalakan yang berlaku di Sarawak.
Di samping itu, Putera Charles pula menggelar layanan terhadap suku Penan sebagai kemusnahan etnik. Berita tentang suku Penan ini mendapat perhatian dan liputan di peringkat antarabangsa seperti BBC, National Geographic, Primetime Live, Newsweek, Time dan The New Yorker. Malaysia dikecam dari pelbagai sudut dan mereka bertindak tidak membeli kayu tropika tetapi Perdana Menteri Malaysia ketika itu Dato Dr Mahathir Mohamed berjaya menjawab semua persoalan tentang orang Penan dan isu Hutan Hujan Tropika.
Tetapi liputan yang diperolehi oleh suku ini, tidak mendatangkan hasil apabila semakin ramai keluarga Penan terpaksa menjual tanah masing-masing kerana kesempitan wang.
Pada tahun 2000, Bruno dan beberapa orang sekali lagi cuba masuk ke Sarawak dengan berjalan kaki dari Kalimantan Indonesia meneroka hutan yang tebal sehingga tiba di sempadan Sarawak-Kalimantan. Tiba di sempadan itu, Bruno ditemani seorang sahaja lelaki Penan dikenali sebagai Nari meneruskan perjalanan itu. Ketika itu Bruno mula berasa sakit di bahagian rusuknya setibanya di gunung yang terakhir, Bruno telah memberitahu Nari bahawa dia ingin mendaki Bukit Batu Lawi seorang diri, Di sinilah dia mengucapkan selamat tinggal kepada Nari dan lenyap untuk selama-lamanya.
Bertahun lamanya banyak kumpulan yang bekerjasama dengan suku Penan mencari Bruno tetapi usah katakan kelibat, jejak pun tiada. Namun ada khabar angin bertiup mengatakan Bruno terpaksa bersembunyi di satu tempat atau berlakunya perbuatan khianat terhadapnya.
BMF dan Suku Penan berusaha mencari Bruno di merata-rata tempat tetapi menemui jalan buntu. Bukan sahaja di sekitar Bukit Batu Lawi malah kawasan di sekitar sungai Limbang juga dicari oleh suku Penan. Pasukan ekspedisi Penan mengesan tempat tidur terakhir Bruno.
Namun jejaknya langsung tidak kelihatan berhampiran kaki bukit Batu Lawi, dalam masa yang sama BMF menghantar helikopter bagi meninjau kawasan sekitar bukit itu namun tidak ada pasukan pencari yang sanggup mendaki 100 meter terkahir bukit ini kerana kecuramannya yang sangat mengerikan. Ada kemungkinan Bruno jatuh di sisi gunung tetapi mayatnya dan barang-barangnya tidak dijumpai.
Tetapi ramai peramal dan pakar lapangan mengatakan bahawa Bruno masih hidup.
Usaha demi usaha dilakukan menemui kegagalan dan akhirnya pada 10 Mac 2005 Mahkamah Switzerland secara rasminya mengumumkan dia telah meninggal dunia. Sebelum kehilangannya dia berjaya menubuhkan Bruno Manser Funds untuk menggiatkan usaha pemuliharaan di Sarawak. Dana ini disalurkan ke dalam kempen-kempen pemuliharaan hutan hujan tropika yang terancam dan bertungkus lumus dalam memastikan hak-hak penghuni hutan hujan dihormati.
Pada 26 September 2019, sebuah filem mengenai Bruno Manser membuka tirai di Festival Filem di Zurich ke-15 bagi memperingati orang yang berkempen untuk memelihara cara hidup kaum Penan berdepan industri pembalakan di Sarawak. Walaupun kehilangannya masih atau misteri, apa yang bukan misteri adalah dedikasi Bruno dalam membantu suku Penan. Semangatnya dalam membantu orang yang memerlukan patut menjadi satu inspirasi kepada kita.
Kalau orang barat yang tiada pertalian darah di sini pun boleh korbankan nyawanya untuk kesejahteraan alam semulajadi kita takkanlah kita nak duduk berdiam diri sahaja? Majulah negara tanpa rasuah...
0 Ulasan