Ramai tak tahu sebelum ke Olimpik Tokyo Datuk Azizulhasni diuji 'jari putus' sementara nak pungut mata kelayakan

 


Sebelum kejohanan sukan Olimpik Tokyo 2020 yang berlangsung tak sampai sebulan lepas, Azizul mengharungi dua cabaran yang mana satunya kejohanan asia dan satu lagi kejohanan dunia di Jerman. kedua-dua kejohanan itu pada 2019. Kedua-dua kejohanan itu amat penting kerana mata kelayakannya sangat besar untuk menempah tiket ke Sukan Olimpik Tokyo. Pelbagai ujian dan cabaran diharungi "The Pocket Rocketman" sewaktu itu. Walaubagaimanapun Datuk Azizul berjaya membawa pulang pingat perak yang berharag buat negara sekaligus pingat pertama untuk Silver medal dalam acara sukan berbasikal di Olimpik.

Apa yang terjadi masa tu sampai cedera kat jari, ikuti luahan Datuk Azizul yang penu bermakna ini sebagai inspirasi buat kita.

Al-Kisah Jari Putus

[Part 1]

.

Persiapan ke Sukan Olimpik Tokyo memang penuh dengan pelbagai cabaran dan ujian. Antara cabaran yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila adalah dugaan kecederaan ketika latihan di mana jari saya hampir putus. Sukan lumba basikal adalah antara sukan yang amat rumit untuk layak ke Sukan Olimpik. Proses kelayakan mengambil masa selama dua tahun. Atlet perlu mengumpul mata di dua musim (season) tersebut dan perlu melalui pelbagai siri perlumbaan untuk mengejar koleksi mata. Antara kejohanan utama yang penting pada musim 2019 adalah Kejohanan Asia di Korea dan Kejohanan Dunia di Jerman yang menawarkan mata berganda. Dalam lebih kurang sebulan setengah sebelum ke Korea ada sesuatu yang menimpa saya ketika sesi latihan.


Pada hari tersebut, saya membawa anak bongsu Amna Khadeeja ke Velodrome untuk menemani saya berlatih. Dalam masa yang sama, saya pun nak beliau belajar berkayuh di sekitar Velodrome tu, melentur buluh biar dari rebungnya, tak gitu? Selepas selesai sesi memanaskan badan saya tengah bersedia untuk melakukan ‘effort’ yang pertama. Seperti biasa, atlet lumba basikal trek akan berkayuh sekitar ‘Apron’ (kalau tak tahu Apron tu apa boleh rujuk video di Youtube Channel saya, saya ada buat penerangan tersebut) menunggu giliran masing-masing. Saya yang ketika itu hendak mengetatkan ‘strap’ di pedal terkejut dengan satu insiden yang tidak pernah berlaku sebelum ini.


Secara tidak sengaja, jari telunjuk kanan saya termasuk ke celah mata gigi ‘chainring’ yang seperti mesin tebu. Lebih mengerikan, mata gigi ‘chainring’ itu tajam dan bersedia untuk mengeronyok apa jua benda yang tidak sepatutnya masuk melaluinya. Perlu di ingat, basikal trek ini adalah ‘fixed-gear’ yang tiada brek dan apabila ianya bergerak, tidak mudah untuk memberhentikannya begitu sahaja seperti ‘roadbike’. Apabila bergerak, ianya seperti sebuah mesin yang hanya bergerak kehadapan semakin laju dan semakin menggila...


[Bersambung]


Al-Kisah Jari Putus

[Part 2]


Jari saya di kunyah mata gigi ‘chainring’ tanpa sempat saya berbuat apa-apa. Ketika perasaan sakit sampai di hujung jari, sepantas kilat badan saya menarik keluar jari tersebut. Semua itu berlaku tanpa saya sedar dan hasilnya hujung jari saya terkulai, hampir putus. Tetapi bagaimanakah perkara ini boleh berlaku? Jawapannya, ketika ketajaman mata gigi ‘chainring’ itu menembusi jari saya, saraf di hujung jari menghantar mesej kesakitan sepantas 120meter per saat melalui ‘Peripheral Nervous Sytem’ ke ‘Central Nervous System’. Hebatnya ciptaan Allah SWT ini, ada satu sistem tubuh badan yang dipanggil ‘Somatic Nervous System’ yang bertanggungjawab mengawal pergerakan diluar kawalan kita atau juga di kenali sebagai Refleks. Refleks tubuh badan melalui ‘Somatic Nervous System’ ini berlaku tanpa sempat kita berfikir.


Saya nampak isi kemerahan dan ada kelihatan suatu berwarna putih yang saya rasa adalah tulang. Terus saya tutup rapat-rapat dengan tangan kiri saya secepat mungkin dan saya segera pergi ke arah bag yang saya bawa ketika latihan. Saya hanya ada kurang dari 10saat untuk melakukan sesuatu dan nasib baik saya pernah belajar serba sedikit apa yang perlu dilakukan di situasi genting seperti ini. Saya terus mencapai ‘black tape’ dan tisu yang saya sentiasa bawa bersama. Cepat-cepat saya balut hujung jari tersebut berlapis-lapis dengan tisu sebelum darah sempat keluar dan saya sudahi dengan membalut dengan ‘black tape’ tersebut.


Saya panggil Amna Khadeeja dan mengajak beliau untuk pulang dengan segera. Dia yang terpinga-pinga tidak tahu apa yang sedang berlaku terus datang ke arah saya menurut perintah. Untuk tidak membuang masa, saya mendukung beliau menggunakan tangan kiri dan menggalas bag di bahu kanan. Saya harus bergerak secepat mungkin sebelum ‘Adrenaline Rush’ berakhir. Saya berfikir ketika sedang memandu, adakah saya perlu terus ke hospital atau pulang ke rumah terlebih dahulu. Jarak Velodrome ke rumah saya adalah lebih kurang 40minit dan dari rumah saya ke hospital adalah lebih kurang 15minit. Saya hanya mempunyai kurang 1 jam sebelum ‘Adrenaline Rush’ berakhir dan....


[Bersambung]

Kisah ini akan bersambung seterusnya nanti, perkongsian bermakna ini dibuat oleh TeamAzizul sendiri bagi kita kenal dan faham jerih payah beliau untuk menempuh ke sukan berprestij itu. Jadi apa kata anda, rujukan Datuk Azizulhasni Awang Pelumba Trek Berbasikal Negara

Catat Ulasan

0 Ulasan