Pada tahun 1974, lima adik beradik dari sebuah keluarga telah meninggal dunia secara tiba-tiba. Dipercayai kelima-lima mereka keracunan setelah menikmati hidangan asam pedas telur ikan kurau pada waktu tengahari.
Kisahnya bermula bila si ayah ke pasar dan membeli ikan kurau untuk dijadikan menu makan tengahari bersama keluarganya. Dia bawa pulang ke rumah dan telur ikan kurau tu dimasak asam pedas. Cukup waktu pulang sekolah, anak-anak terus makan masakan itu bersama ayahnya.
Hati si ayah sudah pasti gembira melihat anak-anaknya makan. Tiba-tina encik Kasim merasa kebas pada bahagian lidahnya. Tidak menunggu lama dia terus dapatkan air kelapa muda bagi dijadikan penawar kepada sebarang keracunan makanan.
Mujurlah, ayah lima beradik ini berjaya diselamatkan setelah dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Ayahnya, Kasim Alauddin berusia 39 tahun, seorang penjual daging bersama isterinya Fatimah Hussein dan tiga lagi anak mereka dirawat di hospital yang sama. Namun begitu, mujurlah anak bongsu mereka dikenali sebagai Makmur yang berusia 5 tahun tidak berada di rumah semasa kejadian. Hal ini dikatakan pada waktu itu Makmur dijaga oleh saudara yang tinggal berhampiran juga dikenali sebagai Kassim.
Sebelum kejadian, ibu mangsa juga ada memberikan asam pedas ikan kurau ini kepada ibu saudaranya. Berikutan itu, ibu saudara mangsa dikenali Maimunah Binti Ahmad berusia 54 tahun yang juga kepada Encik Kassim, dikatakan mengalami keracunan telur ikan kurau ini. Tidak cukup dengan itu, ibu saudara Kassim iaitu Fatimah Binti Ahmad berusia 25 tahun dan anak saudaranya Rokiah Jantan berusia 15 tahun serta Jamaliah Jantan 19 tahun juga dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Bagaimanapun, keempat-empat mereka dilaporkan tidak begitu serius dan dalam keadaan stabil.
Berbalik kepada kisah lima beradik ini, kisah tragis kematian bermula dengan mangsa pertama dikenali sebagai Norasyikin yang berusia 3 tahun. Norasyikin telah meninggal dunia setelah beberapa minit memakan asam pedas telur ikan kurau itu. Mangsa disahkan meninggal dunia di rumahnya.
Seterusnya kematian kedua menyusul dengan mangsa kedua dikenali sebagai Hijrah yang berusia 4 tahun. Mangsa telah disahkan meninggal dunia di hospital ketika mendapatkan rawatan. Kemudian berita sedih ini terus berlarutan apabila dilaporkan Rohana berusia 6 tahun dan Noraini berusia 11 tahun meninggal dunia pada lewat malam. Manakala abang mereka yang berusia 8 tahun Mohamad Shukur menghembuskan nafasnya yang terakhir pada pagi 1 Disember 1974. Pihak hospital mengesahkan dua mangsa lagi yang masih dirawat dalam keadaan kritikal ketika itu.
Kelima-lima mangsa dikenali sebagai Noraini Kasim 11, Mohd Syukur 8, Rohana 6, Hijrah 4, Norashikin 3, telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Lintang, Melaka pada 1 Disember 1974.
Pada pagi 2 Disember 1974 OCPD Melaka Superintendan Baharuddin Bin Nasir dan pegawai kesihatan bandaran, Dr K Dharmaratham telah melawat ke pasar bandaran.
Tujuan itu untuk melihat keadaan kemungkinan faktor-faktor yang menyebabkan hal ini berlaku. Setelah siasatan dilakukan, beliau mengarahkan penjualan Ikan Kurau dihentikan serta merta bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Dalam masa yang sama, Ketua Pegawai Polis Melaka, Ibrahim Hamzah mengatakan sampel ikan Kurau di pasar itu telah diambil bagi tujuan kajian penyelidikan pihak forensik. Siasatan awal mendapati, berkemungkinan ikan yang dijual itu bukan Ikan Kurau tetapi adalah Ikan Buntal.
47 Tahun Berlalu....
Setelah 47 tahun berlalu, kisah ini masih lagi menjadi sejarah titik hitam dalam hidup Makmur yang ketika itu masih berusia 5 tahun. Makmur yang merupakan adik paling bongsu dalam keluarga ini tidak menyangka 5 adik beradiknya telah dijemput Ilahi setelah menyantap telur Ikan Kurau. Dia tidak berapa ingat sangat kejadian itu kerana baru berusia lima tahun. Tetapi dari apa yang diceritakan ayah dan emaknya ia benar-benar menggemparkan masyarakat pada masa itu.
Kejadian itu sukar untuk adik beradik lain lupakan apatah lagi emaknya, mana ada ibu bapa yang tidak sedih apabila hilang lima anak sekali dalam satu masa meskipun kejadian itu sudah lama berlalu, tetapi ia tidak pernah terpadam di dalam ingatan Makmur.
Peristiwa itu lama, tetapi apabila Makmur meningkat dewasa, orang kampung masih ramai yang memanggil namanya dengan nama Syukur. Sama dengan nama arwah abangnya mungkin rupanya ada iras-iras arwah. Malah sebagai tanda ingatan buat arwah abang dan kakaknya Makmur telah memberikan nama anak lelakinya dengan nama Syukur. Anak perempuannya pula dinamakan Hijrah. Tujuannya supaya nama mereka tidak luput dalam ingatan.
Makmur bagaimanapun berkata, ayah dan emaknya tetap redha dan menerima ketentuan Ilahi. Selepas ayahnya kehilangan lima orang anak, Allah gantikan mereka dengan lima adik beradik lagi yang lahir selepas itu, sebagai pengubat kesedihan kedua ibu bapanya. Selepas kejadian itu, Norijah, Norazmah, Mohd Safri, Norhafizah, dan Murni pun dilahirkan. Menurutnya, selain lima adik beradik yang meninggal dunia itu, tiga lagi masih hidup kerana tidak ada masa kejadian iaitu Zakaria yang merupakan abang sulong, Rahmat dan Hamidah.
Lapan orang adik beradik ini masih menetap di Melaka termasuk Makmur. Seorang di Negeri Sembilan dan seorang di Singapura.
Begitulah kisah ini, sesungguhnya Allah tidak akan menguji seseorang melebihi kemampuan diri hambanya. InshaAllah apa yang berlaku pasti ada hikmah yang tersembunyi. Mari kita sedekahkan alfatihah kepada semua mangsa dan keluarga ini agar sentiasa dilindungi daripada kejahatan di dunia dan akhirat.
0 Ulasan