Bagaimanapun, berbeza dengan kebanyakan laluan lain di Malaysia, populariti Lebuh AMJ ternyata bukan sekadar sebagai laluan yang memudahkan pengguna tetapi juga ekoran pelbagai cerita mistik yang dikaitkan dengan lebuh raya berkenaan.
Walaupun kesahihan cerita sebegini boleh dipertikaikan, malah sering dipersoalkan sesetengah pihak, namun tidak boleh dinafikan sememangnya dunia internet merupakan lubuk pelbagai cerita mistik yang dikaitkan dengan Lebuh AMJ ini.
Persekitaran lebuh raya yang sememangnya gelap pada waktu malam, dengan pokok getah dan kelapa sawit di kiri kanan jalan, memang diakui sedikit sebanyak menimbul suasana menakutkan terutama di beberapa lokasi di lebuh raya ini.
Malah, pada awal pembukaan lebuh raya ini, keadaan gelap inilah yang sering dikaitkan pengguna lebuh raya dengan beberapa kemalangan maut yang pernah dilaporkan berlaku.
Ketika ia baru beroperasi, masalah binatang ternakan, terutama lembu yang berkeliaran di atas lebuh raya berkenaan turut menjadi antara isu yang sering ditimbulkan.
Bagaimanapun, tindakan pihak berwajib memasang pagar di beberapa lokasi di sepanjang lebuh raya ini yang dikenali sebab antara kawasan popular untuk ternakan berkeliaran telah mengurangkan kejadian sedemikian.
Bukan itu sahaja, pemasangan lampu di beberapa kawasan di lebuh raya ini, terutama di kawasan yang dikenali sebelum ini sebagai kawasan kemalangan, juga banyak membantu mengurangkan insiden kemalangan.
Bagaimanapun, usaha menjadi lebuh raya ini lebih ‘mesra pengguna’ sama sekali tidak memadamkan cerita-cerita yang sering mengaitkan Lebuh AMJ dengan kejadian mistik, hantu dan sebagainya.
Sebagai contoh, laman Facebook seorang pengguna bernama Husaini turut menceritakan pengalaman berdepan dengan keadaan mendebarkan di lebuh raya terbabit.
Menurutnya, beberapa kilometer sebelum tiba di persimpangan Merlimau, motosikal yang dia naiki disuluh dengan lampu tinggi beberapa kali dari arah belakang.
Menyedari kejadian itu, katanya, dia telah beralih ke kiri lebuh raya sambil menoleh ke belakang untuk melihat siapakah yang menyalakan lampu tinggi berkenaan.
“Bagaimanapun, saya tidak nampak apa-apa kenderaan pun di belakang. Secara tiba-tiba bulu roma saya meremang dan saya terus membaca ayat Kursi.
“Kalau benar kenderaan di belakang telah memotong motosikal saya, arah mana dia ambil kerana saya sendiri tidak nampak,” katanya.
Pengalaman menggerunkan sebegini turut pernah dialami Johari Mohammad, 38, ketika menggunakan Lebuh AMJ pada suatu malam tahun lalu.
“Ketika melalui satu kawasan berbukit, ekor mata saya seakan terpandang sesuatu berwarna putih di celah-celah pokok di bahagian kiri jalan.
Gambar via Youtube
“Pandangan sekilas itu sudah cukup membuatkan bulu roma saya meremang. Terus terang saya katakan sehingga kini saya sendiri tidak tahu apakah sebenarnya yang saya ternampak malam itu,” katanya.Tersebarnya cerita-cerita sebegini sudah tentu akan memberi kesan kepada mereka yang menggunakan lebuh raya ini, tidak kiralah sama ada mereka jenis yang mempercayai atau tidak cerita terbabit.
Walaupun penulis sering berulang antara Melaka dan Muar menggunakan Lebuh AMJ, namun sehingga kini masih belum, secara peribadi, berhadapan dengan keadaan-keadaan sebagaimana dicanangkan menerusi pelbagai blog dan media sosial.
Pun demikian, penulis memang mengakui ada kalanya cerita-cerita sebegini membuatkan penulis memandang sekeliling, termasuk menerusi cermin pandang belakang di dalam kereta, apabila melalui kawasan yang gelap, berbukit serta dipenuhi pokok getah atau kelapa sawit.
Tidak hairanlah suasana persekitaran yang sebegini ditambah cerita-cerita yang pernah kita dengar atau baca, sekali gus membuatkan imaginasi kita semakin aktif tiap kali menggunakan Lebuh AMJ.
Siapa tahu, mungkin cerita yang kita dengar dan baca selama ini adalah kebenarannya atau mungkin ada yang sengaja ditokok-tambah.
Apa sekalipun, hanya kerana kita tidak nampak sesuatu itu dengan mata kasar kita, tidak bermakna yang ia sama sekali tidak wujud.
Kredit:Sinar
0 Ulasan