3 lelaki ditahan dalam Op Global mengaku tak bersalah lakukan amang seksual

 


Seremban: Tiga pembantu pengajar sebuah madrasah di Kuala Pilah yang mempunyai kaitan dengan GISB Holdings (GISBH) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak lelaki pada 2022 hingga 2023.

 

Tertuduh, Muhammad Habib Noh Mohd Zairi, 21, berdepan lima pertuduhan; Muhammad Khunnais Fathie Khabil, 20, enam pertuduhan, manakala Ahmad Nadzful Izham Azizan, 22, tiga pertuduhan.

 

Mereka masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

 

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiganya didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap lima kanak-kanak lelaki yang tiga daripadanya adalah adik-beradik, berusia antara sembilan hingga 11 tahun.

 

Kesalahan itu dilakukan antara tahun 2022 hingga 2023 di sebuah madrasah di Kuala Pilah.

 

Berikutan itu tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

 

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebatan.

 

Muhammad Habib Noh turut berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

 

Mengikut pertuduhan itu, dia didapati melakukan suatu amang seksual fizikal ke atas mangsa berusia 10 tahun.

 

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi tidak menawarkan jaminan namun jika mahkamah membenarkannya, dia memohon jaminan ditetapkan sebanyak RM30,000 bagi setiap pertuduhan.

 

Keluarga tertuduh kemudiannya merayu jaminan minimum dikenakan kerana jumlah yang dicadangkan agak tinggi.

 

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM12,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis sekali sebulan.

 

Tertuduh juga diarahkan tidak mengganggu mangsa serta saksi, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta boleh dihubungi bila-bila masa.

 

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 30 Oktober depan bagi laporan perubatan dan lantikan peguam.

 

Menurut Harian Metro menerusi laporan eksklusif sejak 7 September lalu melaporkan, sebuah rumah kebajikan yang bernaung di bawah sebuah syarikat berkaitan produk Islam terkenal didapati melakukan penderaan bakar tangan, cabut rumput sehingga penuh plastik hitam dan salah laku seksual.

 

Malah, ada dalam kalangan mereka menjadi mangsa liwat dan lebih malang selepas diliwat mereka pula akan dipaksa meliwat rakan lain oleh penjaga.

 

Kegiatan penderaan fizikal itu dikatakan berlaku sejak lebih 10 tahun lalu membabitkan penghuni di rumah berkenaan terbongkar selepas seorang penjaga berusia 19 tahun ditahan pihak berkuasa pada 4 September lalu di daerah ini.

 

Susulan itu, polis berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak berusia antara satu hingga 17 tahun yang dipercayai dieksploitasi di 20 rumah kebajikan di Selangor dan Negeri Sembilan dalam Op Global pada 10 September lalu.

Catat Ulasan

0 Ulasan