Kuala Lumpur: Anak pemimpin GISB Holdings Sdn Bhd
(GISBH) antara lima individu yang ditahan dalam Op Global di sempadan Bukit
Kayu Hitam, Kubang Pasu, Kedah, hari ini.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain
berkata, Unit Risikan Sempadan Zon Utara berjaya mengesan dua kenderaan
mempunyai lambang GISBH di lokasi terbabit kira-kira jam 6 petang tadi.
"Hasil pemerhatian terhadap kenderaan itu
mendapati ia bergerak ke Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam menghala ke Thailand.
"Tindakan pemeriksaan dibuat dengan bantuan
Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah dan berjaya menahan kenderaan itu serta
lima lelaki.
"Kelima-lima lelaki yang ditahan termasuk anak
pemimpin GISBH itu berusia antara 28 hingga 41 tahun," katanya kepada
Harian Metro, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya merampas beberapa
kenderaan dalam tangkapan itu.
"Soal siasat awal dan proses dokumentasi
terhadap kesemua suspek berkenaan sedang dijalankan.
"Tangkapan dan rampasan terbabit akan dibawa
ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk tindakan lanjut,"
katanya.
Menurut Harian Metro dalam laporan
eksklusif sejak 7 September lalu melaporkan bakar tangan, cabut rumput sehingga
penuh plastik hitam dan salah laku seksual antara bentuk penderaan yang
dilakukan sebuah rumah kebajikan yang bernaung di bawah sebuah syarikat
berkaitan produk Islam terkenal.
Malah, ada dalam kalangan mereka menjadi mangsa
liwat dan lebih malang selepas diliwat mereka pula akan dipaksa meliwat rakan
lain oleh penjaga.
Kegiatan penderaan fizikal itu dikatakan berlaku
sejak lebih 10 tahun lalu membabitkan penghuni di rumah berkenaan terbongkar
selepas seorang penjaga berusia 19 tahun ditahan pihak berkuasa Rabu lalu di
Seremban, Negeri Sembilan.
Susulan pendedahan akhbar ini, ia turut mendapat
perhatian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri dilaporkan berkata, kementeriannya akan berkerjasama dengan pihak berkuasa untuk menyelamatkan kanak-kanak terancam dan perlukan perlindungan.
0 Ulasan