Indonesia kembali pintas Harimau Malaya

 


KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya dijangka hanya naik satu anak tangga dalam ranking terkini Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

 

Berdasarkan perkiraan yang dibuat laman footranking.com selepas perlawanan dalam kalendar FIFA bagi September, Harimau Malaya bakal naik ke kedudukan 133 berbanding 134 dalam ranking semasa.

 

Ia susulan keputusan seri tanpa jaringan yang diraih Indonesia berdepan pasukan ranking 24 dunia, Australia dalam aksi pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026, semalam, selain kemenangan Rwanda ke atas Lesotho.

 

Keputusan itu menyaksikan Indonesia yang sebelum ini turut mengikat pasukan rangking 56 dunia, Arab Saudi 1-1 kembali memintas Malaysia apabila bakal naik tiga anak tangga ke kedudukan 130 dunia.

 

Skuad Garuda menambah 15.45 mata bagi ranking FIFA hasil keputusan seri dalam dua aksi itu dengan mengumpul 1124.18 mata keseluruhan.

 

Harimau Malaya yang dibimbing Pau Marti Vicente meraih tambahan 10.06 mata hasil dua kemenangan yang direkodkan ke atas Filipina dan Lubnan dalam aksi Pestabola Merdeka 2024.

 

Skuad negara meraih 4.48 mata ketika menewaskan Filipina 2-1 pada 4 September lalu dan 5.58 mata lagi selepas mengatasi Lubnan 1-0, Ahad lalu dalam aksi final kejohanan itu.

 

Harimau Malaya bakal memintas Gambia yang dijangka jatuh dua anak tangga ke kedudukan 134 dunia.

 

Sementara itu, Vietnam pula dijangka jatuh dua lagi anak tangga ke kedudukan 117 dunia susulan kekalahan 2-1 kepada Thailand dalam aksi persahabatan, semalam.

 

Kedudukan rasmi semua pasukan bagaimanapun hanya akan diketahui selepas FIFA membuat kemas kini pada 19 September ini.


Kredit: Berita Harian

Catat Ulasan

0 Ulasan