"Saya bukan janda" - Dian P Ramlee bahagia dengan usia perkahwinan 43 tahun


KUALA LUMPUR: Meskipun jarang berkongsi hal peribadi, termasuk kehidupan berumah tangga sepanjang empat dekad mencipta nama, itu tidak bermakna Dian P Ramlee bebas daripada sasaran gosip.

 

Dian dikatakan pernah dua kali bernikah, selain dianggap janda gara-gara tidak berkongsi wajah suaminya, sedangkan rumah tangga yang dibina bersama Md Amanti Ahmad pada 28 September 1981 kekal utuh.

 

“Suami saya dari dulu sampai sekarang cuma seorang dan kami masih bersama. Kami berkenalan ketika usia saya 19 tahun dan setahun selepas itu, kami bertunang.

 


“Kami bernikah ketika saya berusia 23 tahun dan Alhamdulillah, rumah tangga kami bertahan hingga hari ini. Dalam hal peribadi, saya agak konservatif dan tidak suka gosip serta publisiti.

 

“Tetapi, masih ada yang buat cerita kononnya saya pernah dua kali kahwin, selain dikatakan janda apabila tidak berkongsi gambar bersama keluarga,” katanya.

 

Hasil perkahwinan mereka, Dian atau nama sebenarnya Salfarina Mum, 61, dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Md Al Safrin, 36, Siti Arianti, 31, dan Siti Adianti, 24.

 


“Dahulu, suami saya bekerja sebagai pramugara, namun sudah pencen. Bayangkan, selepas berkahwin dan mengandung anak pertama, ada yang cakap kami sudah bercerai.

 

“Ketika melahirkan anak kedua, saya sekali lagi dikaitkan dengan perkara sama. Lahir anak ketiga pula, saya dikatakan berkahwin lagi. Hakikatnya, semua itu tidak benar,” katanya.

 

Dian berkata, ketika gosip mengenai rumah tangganya hangat diperkatakan, dia dan suaminya menjalani kehidupan seperti biasa hingga menyebabkan ada pihak keliru.

 

“Pernah kru yang terserempak ketika menghantar saya pulang ke rumah menyangka dia ialah suami baharu. Saya jelaskan kepada mereka, itu suami pertama dan terakhir saya. Suami saya hanya seorang!

 

“Suami pula bukan jenis suka dikenali ramai dan tidak pernah muncul bersama di dada akhbar serta majalah. Sepanjang berumah tangga, kami pernah menjayakan iklan jenama kicap bersama dengan tiga anak.

 

“Ketika itu, kelibatnya hanya samar-samar memandangkan dia terikat dengan polisi kerja dan tidak boleh terlalu menonjol di media massa,” katanya.

 

Dian berkata, dia juga tidak menggalakkan anaknya untuk mengikut jejak langkahnya dalam bidang seni.

 

“Biarlah hanya saya yang meneruskan perjuangan dalam bidang ini. Dahulu, ketika kegawatan ekonomi, anak lelaki saya ada melakukan kerja belakang tabir bersama ntv7.

 

“Saya bagaimanapun, berharap dia mendapat kerja di syarikat produksi besar dan bergaji tetap. Jika masih ingin bekerja dalam bidang ini, dia boleh melakukannya secara sambilan. Dia bagaimanapun, mendengar cakap dan memilih bekerja di luar bidang seni.

 

“Begitu juga anak perempuan yang menerima tawaran berlakon, tetapi saya tidak galakkan. Mujur dia tidak memberontak, tambahan pula suami sejak awal lagi sudah mengingatkan supaya mereka memberikan tumpuan pada pelajaran,” katanya.


Dian P Ramlee merupakan anak angkat kepada Allahyarham Tan Sri P Ramlee


Kredit: Berita Harian


Catat Ulasan

0 Ulasan