![]() |
Peguam S Vijay Ratnam
memohon mahkamah membenarkan semakan mengetepikan hukuman mati atas alasan
Azman Abd Rahman kesal dengan perbuatannya dan kini menghidap beberapa
penyakit. (Gambar Bernama)
Mahkamah Persekutuan di sini mengekalkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang bapa yang membunuh anak tiri lelakinya berusia enam tahun pada 13 tahun lepas.
Panel tiga hakim diketuai
Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat mengumumkan keputusan sebulat suara
itu selepas menolak permohonan semakan Azman Abd Rahman, 49, menggantikan
hukuman mati kepada penjara seumur hidup mengikut Akta Semakan Hukuman Mati dan
Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.
Tengku Maimun
menerima bantahan pihak pendakwaan terhadap permohonan semakan Azman
mengetepikan hukuman mati terhadapnya.
“Permohonan pemohon (Azman) ditolak dan hukuman
sedia ada dikekalkan,” katanya yang bersidang bersama Hakim Mahkamah
Persekutuan, Nordin Hassan dan Hanipah Farikullah.
Terdahulu, Ketua
Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara, Dusuki Mokhtar membantah
permohonan semakan Azman yang diwakili Peguam S Vijay Ratnam dan memohon
mahkamah mengekalkan hukuman mati.
“Bedah siasat menemui lebih 72 kesan kecederaan
pada jasad mangsa, terutama di bahagian otot, paru-paru, kepala dan perut
berpunca daripada hentakan kuat menggunakan benda tumpul.
“Menurut saksi yang merupakan pekerja pemohon,
dia cuba menghalang perbuatan Azman memukul mangsa hanya berusia enam tahun
itu, tetapi dimarahi dan diingatkan supaya tidak masuk campur urusan
keluarganya,” kata Dusuki.
Vijay Ratnam memohon mahkamah membenarkan
semakan mengetepikan hukuman mati atas alasan anak guamnya kesal dengan
perbuatannya dan kini menghidap beberapa penyakit, iaitu kecelaruan personaliti
antisosial, tekanan darah tinggi dan kronik hepatitis C.
Pada 5 Jun 2015, Mahkamah Tinggi Melaka
menjatuhkan hukuman mati terhadap Azman yang didapati bersalah terhadap
pertuduhan membunuh Muhammad Firdaus Mohd Dan di kebun kelapa sawit Kampung
Solok Pinang Gadek, Alor Gajah antara 10.30 pagi hingga 2.15 petang 10 Okt 2011
mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Rayuan Azman yang bekerja memproses kayu getah
itu ditolak Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 7 Sept 2016, sebelum Mahkamah
Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman pada 5 Okt 2017.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian,
semasa dalam perjalanan ke tempat kerja pemohon (Azman), mangsa memaklumkan
mahu membuang air kecil atau air besar, bagaimanapun mangsa ditampar di pipi
dengan kuat.
Apabila mereka tiba di satu kawasan, Azman
memarahi mangsa dan menendang rusuk kanak-kanak itu dengan but (kasut)
keselamatan, selain memukul mangsa berkali-kali sehingga jatuh tersungkur
menggunakan dahan kayu dan rotan.
Dalam perjalanan pulang, mangsa dilihat
membuang air besar dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan darah mengalir dari
telinganya, sebelum Azman membawanya ke Hospital Alor Gajah dan doktor
mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
Mahkamah Persekutuan yang bersidang di Johor
Bahru itu selama tiga hari bermula semalam hingga esok melibatkan 98 kes bagi
pesalah terdiri daripada rakyat tempatan dan warga asing, termasuk Indonesia,
Nigeria, Iran, India, Togo, Guinea, Pakistan serta Singapura yang ditahan di
Penjara Kluang dan Simpang Renggam.
Sebanyak 36 kes melibatkan permohonan semakan
hukuman mati dan hukuman pemenjaraan sepanjang hayat bersidang di Mahkamah
Tinggi Johor Bahru hari ini.
0 Ulasan