Penyanyi Datuk Khadijah Ibrahim dilaporkan mengalami
kecederaan selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya sewaktu dalam
perjalanan dari Brunei ke Kota Kinabalu, Sabah pada petang Selasa.
BH melaporkan, kereta pacuan empat roda jenis
Toyota Hilux yang dinaiki penyanyi berkenaan bertembung dengan Avanza di Taman
Kinamas, Jalan Beaufort.
Dalam pada itu, Khadijah dipercayai hanya mengalami
kecederaan ringan di bahagian tangan kerana memandu kenderaan tersebut.
Terbabas di Jalan Beaufort |
Selain Khadijah, dua lagi penumpang lain iaitu Baharuddin Hassan, 70 dan
Kharnita Adrianti Aminudin, 40, dilaporkan turut mengalami kecederaan ringan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat
Beaufort, Mohd Hasbullah Nenggok berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan
pada pukul 5.29 petang dan seramai 10 anggota dikejarkan ke lokasi kemalangan.
Menurut Hasbullah, kesemua mangsa dihantar ke
Hospital Beaufort untuk mendapatkan rawatan lanjut.
"Selepas tiba, Komander Operasi melaporkan
kemalangan membabitkan dua buah kenderaan, iaitu kereta Toyota Hilux bertembung
dengan kereta Toyota Avanza.
"Terdapat lima orang mangsa terlibat dan
berjaya keluar sendiri sebelum ketibaan Pasukan Bomba di lokasi kejadian.
"Dua mangsa di dalam kenderaan Toyota Avanza dan tiga orang mangsa dalam kenderaan Toyota Hilux dihantar ke Hospital Beaufort oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.
0 Ulasan