KUALA LUMPUR: “Saya sedih
kejadian yang pernah berlaku terhadap anak (Allahyarham Zulfarhan Osman
Zulkarnain) berulang kepada penuntut lain.”
Itu
luahan bapa kepada arwah Zulfarhan, Zulkarnain Idros, 60, berhubung dakwaan
seorang pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan, Universiti Pertahanan
Nasional Malaysia (ALK-UPNM) cedera ditekap seterika, disyaki dibuli senior.
Menurutnya,
beliau mengetahui kejadian itu selepas membaca laporan media yang dihantar oleh
isterinya menerusi aplikasi WhatsApp, semalam.
“Saya
terkejut kerana masih ada kes buli berlaku kepada penuntut UPNM. Saya sangka
kes arwah anak yang terakhir tapi ia masih berulang.
“Dakwaan
mangsa ditekap seterika, tidak kiralah seterika biasa atau seterika wap, ia
sesuatu yang tidak boleh diterima kerana bukan saja menyakitkan dan menyeksakan
tapi ia meninggalkan kesan buat mangsa.
“Seperti
berlaku kepada arwah anak yang mempunyai 90 kesan tekapan seterika wap panas,
sehingga sekarang saya tak mampu untuk lupakan kesengsaraan dialami arwah,”
katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Mengulas
lanjut, Zulkarnain berpandangan laporan siasatan kejadian itu wajar didedahkan
kepada pengetahuan umum supaya menjadi pengajaran kepada pihak lain.
Beliau
berkata, pihak universiti harus memandang serius kejadian itu yang berlaku kali
kedua meskipun tidak mengakibatkan kemalangan jiwa.
Selain
itu, katanya, sudah tiba masanya akta antibuli bagi mendepani peningkatan kes
buli membabitkan fizikal, mental dan seksual.
“Sehingga
kini tiada undang-undang khusus terpakai bagi kes buli di sekolah dan institut
pengajian tinggi. Peningkatan kes buli kebelakangan ini adalah petanda
kecemasan yang memerlukan tindakan segera pihak berwajib,” katanya.
Terdahulu,
seorang pegawai kadet tahun dua di ALK-UPNM Sungai Besi dipercayai menjadi
mangsa buli dan dera baru-baru ini.
Memetik
sumber, mangsa mengambil jurusan kejuruteraan itu didakwa dibuli penuntut
senior dan kes terbongkar selepas pemeriksaan berkala dijalankan jurulatih
bertugas, yang menyedari kesan kecederaan pada tubuh mangsa.
Susulan
itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataan mengambil maklum
laporan yang tular di media alternatif dan media sosial mengenai insiden itu
yang memperlihat kesan lecur pada badan mangsa.
ATM
menegaskan bahawa siasatan akan dilaksanakan dengan terperinci dan tidak akan
melindungi serta berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan kes
itu.
Tindakan
disiplin yang keras mahupun tindakan undang-undang akan dikenakan kepada pihak
yang terbabit jika terbukti bersalah.
0 Ulasan