NAMA Leftenan
Kolonel Emilia Kamaruddin mungkin mencetuskan inspirasi kepada masyarakat
dengan membuktikan bahawa wanita juga mampu mengharungi kerjaya yang mencabar
seperti tentera.
Walaupun kelibat ataupun namanya jarang disebut dalam media utama
mutakhir ini, namun beliau adalah sumber inspirasi bagi para wanita yang ingin
menjalani kehidupan yang penuh dengan latihan fizikal dan disiplin ketenteraan.
Malah, Emilia adalah contoh bahawa kecekalan, kekuatan mental, dan
semangat tidak terbatas pada gender.
Peranannya dalam angkatan
tentera menunjukkan bahawa wanita juga mampu memikul tanggungjawab dan
menghadapi cabaran yang sama seperti lelaki.
Bukan itu sahaja, nama Emilia itu sendiri itu turut
membawa makna yang sangat bermakna dalam Islam iaitu cita-cita yang seolah-olah
menggambarkan impian pada setiap insan yang menginginkan kerjaya sepertinya.
Leftenan Kolonel Emilia Kamaruddin. — Facebook/Syahril A.Kadir |
Melalui
perkongsian di laman Facebook Tentera
Udara Diraja Malaysia, Emilia memulakan kerjaya di dalam
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai pegawai berpangkat Leftenan Udara
dan bersara sebagai Leftenan Kolonel pada Disember 2011.
Difahamkan beliau, berkhidmat bersama TUDM selama 25 tahun untuk
berkhidmat demi mempertahankan negara yang tercinta.
Anak jati kelahiran Selangor itu juga pernah memegang jawatan
penting di Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sebagai salah seorang
pengarah selepas bersara dari TUDM.
Namun di sebalik kejayaan wanita tersebut, kerjaya juruterbang
pejuang tidak pernah terlintas di dalam kamus cita-citanya hatta semasa belajar
Kolej Teknologi Llandrillo, North Wales, United Kingdom peringkat A Levels
sebelum menyambung peringkat ijazah di Universiti Loughborough, England, United
Kingdom.
Beliau seperti yang dikongsikan Mejar (B) Ramli Abdul Rahim,
Emilia hanya mencuba nasib selepas tertarik dengan iklan yang menawarkan
kerjaya dalam TUDM.
Pada ketika itu,
Emilia bersama dengan dua orang calon juruterbang wanita lain iaitu Fadzillah
Abdullah dan Zainab Sharil telah dipilih untuk menjalani latihan ketenteraan di
TUDM Kinrara, Kuala Lumpur dan ditauliahkan sebagai pegawai TUDM berpangkat Leftenan
pada 3 November 1986.
Emilia kemudiannya mengikuti kursus latihan
penerbangan asas di Pusat Latihan Penerbangan Satu di TUDM Alor Setar, kedah
iaitu melalui fasa kajian bawah dan fasa penerbangan dan setelah lulus menerima
sayap penerbangan.
Setelah upacara penganugerahan sayap
penerbangan pada April 1988 selepas melakukan penerbangan sebanyak 170 jam,
bermulalah episod kerjaya Emilia sebagai juruterbang wanita pertama di TUDM dan
beliau meneruskan penerbangan lanjutan untuk menerbangkan pesawat pejuang.
Pengalaman menerbangkan pelbagai jenis pesawat
termasuk Pilatus PC-7, Aermacchi MB339, Skyhawk, Hawk dan Aerotiga MD3,
mematangkan Emilia dalam menjalani kehidupan dunia penerbangan ketenteraan.
Difahamkan, ibu kepada enam orang anak itu
pernah berdepan dengan situasi mencemaskan semasa mengendalikan pesawat
mengadakan pertunjukan lintas lalu empat pesawat sempena Hari Kemerdekaan
negara, pesawat yang dibawanya mengalami masalah teknikal dan menjunam namun
beliau sempat mengendalinya dan naik semula.
Skuadron jet pejuang yang menjadi lokasi pertama Emilia bertugas ialah TUDM Kuantan, Pahang iaitu menerbangkan pesawat Skyhawk iaitu daripada 1989-1992 dan sebagai juruterbang pejuang wanita yang pertama setiap gerak-geri menjadi keprihatinan semua pihak kerana Emilia adalah wanita yang pertama membuat kerja yang selalunya dilakukan oleh orang lelaki.
Emilia berkhidmat bersama TUDM selama 25 tahun demi mempertahankan negara yang tercinta. — Facebook/TUDM |
Lebih
membanggakan lagi, Emilia juga merupakan Jurulatih Penerbangan Wanita yang
pertama apabila dipilih untuk menjadi guru melatih pelatih juruterbang yang
hampir 100 peratus adalah lelaki kerana TUDM tidak mengambil ramai juruterbang
wanita maka anak didik Emilia kebanyakannya adalah lelaki daripada 1992-1995.
Beliau kemudiannya menjadi Ketua Operasi Pusat
Simulator Pesawat Pejuang di TUDM Butterworth daripada 1995-1997 dan seterusnya
menjadi Pegawai Memerintah Pusat Simulator Pesawat Pejuang daripada 1999-2001.
Bukan itu sahaja, pada 2007 sehingga
persaraannya 2011 Emilia telah ditugaskan sebagai juruarah (Directing Staff) di
Maktab Turus Angkatan Tentera Haigate Kuala Lumpur untuk mengendalikan modul
Tentera Udara bagi pegawai TUDM dan pegawai tentera udara asing yang berkursus
di maktab tersebut.
Walaupun Emilia kini tidak lagi di dalam TUDM
namanya akan tetap menjadi bualan dalam kalangan masyarakat sekali gus menjadi
sumber inspirasi buat wanita di luar sana yang ingin terlibat dalam bidang
latihan perang di udara.
0 Ulasan