Pegawai kadet UPNM didakwa sengaja tekap dada junior dengan seterika

 


Pegawai Kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Amirul Iskandar Norhanizan, 22, menghadapi pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan keatas seorang penuntut junior menggunakan seterika wap panas pada 22 Oktober lalu ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini 

 

SEORANG Pegawai Kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang disyaki membuli dan mendera seorang penuntut junior menggunakan seterika pada Oktober lalu, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan.

 

Tertuduh, Amirul Iskandar Norhanizan, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Egusra Ali.

 

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Salman Mohd Saiful Surash, 20, menggunakan seterika wap yang panas di sebuah dorm di Blok Kasturi, Akademi Latihan Ketenteraan UPNM, Kem Sungai Besi, Cheras, sekitar jam 11.45 malam pada 22 Oktober lepas.

 

Justeru dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

 

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin selain syarat tambahan tidak menganggu saksi-saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

 

Pegawai Kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Amirul Iskandar Norhanizan, 22, menghadapi pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan keatas seorang penuntut junior menggunakan seterika wap panas pada 22 Oktober lalu ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini 

 

“Jumlah itu adalah berikutan jenis kesalahan dan keseriusan kesalahan yang telah dilakukan iaitu menekap seterika wap panas sehingga menyebabkan dada sebelah kanan mangsa mengalami ‘second degree burn’.

 

“Selain itu saksi-saksi pendakwaan kes ini melibatkan rakan seasrama tertuduh, pegawai dan jurulatih UPNM.

 

“Seterusnya kes berkepentingan awam yang akan menjadi panduan kepada masyarakat terutama pelajar-pelajar apabila kesalahan buli pelajar lain bukan sahaja dihukum kelak dengan hukuman yang berat tetapi jaminan juga dalam jumlah yang tinggi,” katanya.

 

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam agar mahkamah membenarkan jaminan yang rendah terhadapnya memandangkan dia masih seorang pelajar dan ibu bapanya merupakan pesara kerajaan.

 

“Mohon jaminan yang rendah dan saya berjanji akan hadir ke mahkamah pada setiap tarikh perbicaraan yang ditetapkan oleh mahkamah,” ujarnya.

 

Hakim Egusra kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan dua penjamin selain mengarahkan agar tertuduh tidak menganggu atau menghubungi saksi-saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

 

Mahkamah menetapkan 27 Disember depan bagi sebutan semula kes.

 

Sebelum ini pada 2 November lalu, UtusanTV melaporkan pihak polis telah membuka kertas siasatan seorang pegawai kadet ALK UPNM yang dipercayai menjadi mangsa buli dan dera seorang penuntut senior.

 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kertas siasatan itu dibuka mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan selepas mangsa berusia 20 tahun itu membuat laporan kira-kira 8.20 malam 1 November lepas.

 


Catat Ulasan

0 Ulasan